SALAM ZIARAH KE PORTAL CIKGU AZMAN

Ahad, 22 April 2012

LADAP GURU-GURU BAHASA MELAYU

      Menyedari betapa pentingnya setiap guru hari ini melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan sama ada berkaitan dengan kaedah pengajaran terkini atau pun isu-isu semasa dalam bidang pendidikan di Malaysia, panitia Bahasa Melayu SMK Ungku Aziz telah menyahut seruan ini dengan mengadakan Kursus Dalaman pada 14 April 2012 yang lalu. Antara tajuk yang didedahkan kepada 18 orang guru Bahasa Melayu ialah berkaitan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI), Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya(PKJR) dalam mata pelajaran bahasa Melayu, Pentafsiran Berasaskan Sekolah (PBS) tingkatan 1, pendedahan cara pemeriksaan kertas Bahasa Melayu PMR dan Kertas 1 SPM.
      Kursus ini dimulakan dengan slot taklimat perlaksanaan MBMMBI yang telah disampaikan oleh Puan Masrah dan Puan Salmah Sobar. Taklimat berkisar tentang usaha memartabatkan bahasa Melayu melalui dasar ini ialah dengan pemasangan perisian komputer di makmal komputer yang juga menjadi makmal bahasa. Guru-guru Bahasa Melayu terutamanya tingkatan 1 digalakkan menjalankan pembelajaran dan pengajaran subjek bahasa Melayu ini menggunakan program yang disediakan di samping menggunakan kemudahan ICT yang ada.
       Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu telah diputuskan untuk dilaksanakan kepada pelajar-pelajar tingkatan  mulai tahun 2012. Keputusan ini telah diambil dan dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Dato' Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia semasa dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Perlaksanaan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya. Puan Salmah binti Sobar telah memberikan taklimat berkaitan PKJR ini. Menurut surat siaran yang telah dikeluarkan pada tahun 2009, ilmu tentang pendidikan keselamatan jalan raya ini mestilah diterapkan kepada pelajar sebanyak satu waktu seminggu. Program PKJR ini sebenarnya telah bermula di sekolah rendah sejak tahun 2008 dan mulai tahun 2012, sepatutnya telah diteruskan ke sekolah menengah. Perlaksanaan ini di sekolah menengah belum dilaksanakan kerana modul dan buku yang berkaitan dengan PKJR ini belum diterima oleh pihak sekolah. 
        Pentafsiran Berasaskan Sekolah  (PBS) untuk mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan 1 telah ditaklimatkan oleh Tuan Haji Azan Azli. Seperti yang telah dimaklumkan, mulai 2012 ini, pelajar tingkatan 1 akan melaksanakan PBS untuk keseluruhan mata pelajaran. Langkah ini adalah permulaan untuk penghapusan peperiksaan PMR mulai tahun 2014. Penerangan PBS tingkatan 1 telah memberikan sedikit info kepada semua guru berhubung perlaksanaannya yang dilihat begitu mencabar kepada semua guru dan pelajar. 
        Slot yang turut dimuatkan ialah perkongsian pengalaman Puan Faridah Lebar dengan semua guru mengenai cara memeriksa kertas Bahasa Melayu PMR. Pengalaman yang beliau ada telah dikongsi untuk menentukan guru-guru memeriksa kertas jawapan pelajar dengan cara yang betul dan  yang paling penting, semasa pembelajaran dan pengajaran, perkara ini dapat disampaikan kepada pelajar. Perkongsian ilmu yang terakhir disampaikan oleh Encik Kamaruzaman Daud, ketua panita. Perkara yang dikongsikan bersama ialah maklumat terbaru tentang teknik menjawab soalan karangan SPM dengan lebih baik. Seterusnya beliau menerangkan cara memeriksa Kertas 1 BM SPM. 
En Kamaruzaman, Ketua Panita
Pn Masrah dan Pn Salmah


Pn Faridah memberi taklimat
Sebahagian Guru yang Hadir

Guru-guru BM mendengar taklima
        Akhir sekali, tahniah kepada panitia BM yang telah berjaya menganjurkan kursus ini dan tahniah kepada semua guru BM yang telah dapat menghadirkan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan