SALAM ZIARAH KE PORTAL CIKGU AZMAN

Isnin, 16 Julai 2012

SEMINAR KEIBUBAPAAN MENANGANI ISU LGBT (LESBIAN,GAY, BISEKSUAL DAN TRANSGENDER)

Pada 15 Julai 2012 (Sabtu) yang lalu, Tuan Pengetua, Penolong Kanan, dua orang guru bimbingan dan kaunseling serta seorang guru PJK serta wakil PIBG SMK Ungku Aziz teah menghadiri satu seminar yang bertajuk Seminar Keibubapaan Menangani LGBP di Dewan Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor. Seminar ini telah dianjurkan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Majlis Pemaufakatan PIBG Sekolah-sekolah Putrajaya.
       Antara objektif seminar ini ialah memberi pendedahan dan maklumat kepada peserta mengenai pengertian perlakuan LGBT, simptom-simptomnya serta pendekatan terbaik bagi membendung penularan budaya ini. Selain itu, seminar ini juga diharapkan boleh memberi kesedaran kepada peserta tentang pengaruh perlakuan LGBT yang semakin membimbangkan dalam cara hidup masyarakat dewasa ini. Objektif yang terakhir yang ingin dicapai ialah melebarluaskan program ini dalam ruang lingkup sekolah masing-masing dengan menyampaikan maklumat mengenai isu LGBT ini kepada ibu bapa.
       Pendekatan yang digunakan dalam seminar ini ialah dengan memberi pendedahan kepada peserta mengenai maklumat-maklumat berkaitan perlakuan LGBT ini. Selain itu, pendekatan yang turut sama digunakan semasa seminar ini ialah memberi pendedahan kepada peserta mengenai sejarah dan kesan perlakuan LGBT dalam senario kes di Indonesia. Pendekatan yang terakhir yang digunakan ialah melalui perkongsian pengalaman dengan individu yang pernah terjebak dalam gejala gay dan transdender.
       Seminar ini dimulakan dengan overiew tentang tajuk ini oleh Tuan Haji Hushim bin Haji Salleh dari Husim Motivational and Counselling Consultancy. Selepas itu, dalam sesi yang kedua, telah diadakan forum perkongsian pengalaman bekas Gay dan Transgender. Sesi yang terakhir ialah Sejarah, Kesan LGBT dalam Konteks Indonesia oleh Dr Adian bin Husaini.
        Seminar ini diakhiri dengan rumusan seminar oleh Dato' Haji Shahlan bin Haji Ismail, Pengerusi Majlis Permaufakatan PIBG Sekolah-sekolah Putrajaya. Sebelum majlis berakhir, Tuan Haji Mohd Ruslan bin Sarmin, Guru Bimbngan dan Kaunseling SMK Ungku Aziz telah terpilih mewakili para peserta seminar bagi daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor telah membacakan rosolusi perseta seminar dan telah diserahkan kepada YBerbahagia Dato' Haji Shahlan Haji Ismail.

Sabtu, 14 Julai 2012

LADAP 14 JULAI 2012

Pada hari Sabtu bersamaan 14 Julai 2012, Unit Perkembangan Staf SMK Ungku Aziz telah menjalankan kursus dalam perkhidmatan (LADAP) untuk semua guru dan pekerja sokongan. Kumpulan guru telah ditempatkan di Dewan Kenari Biru manakala kumpulan pekerja sokongan LADAP telah diadakan di makmal ICT.
        Guru-guru telah didedahkan beberapa ceramah dan taklimat bermula dengan penerangan Konsep Pentafsiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang disampaikan oleh Encik Azman Ali, Penolong Kanan SMK Ungku Aziz. Kemudian, diteruskankan dengan taklimat pengisian SPLG secara online oleh Setiausaha LADAP Tuan Haji Zainuddin bin Sahlan. Taklimat diteruskan lagi dengan penerangan tentang pengisian data HRMIS dan e-pangkat serta data EMIS oleh Cik Hazirah bt Amran. Slot yang terakhir ialah ceramah tentang Kepimpinan 360 darjah. Kepimpinan ini ada kaitanya dengan program ProD yang akan dilaksanakan di sekolah ini. Ceramah ini telah disampaikan oleh Puan Hajah Salehar bt Yaakop, Pengetua Kanan SMK Ungku Aziz Sabak Bernam.
          Kumpulan kakitangan sokongan pula telah disertai oleh beberapa orang pekerja daripada sekolah lain seperti SMK Sungai Besar, SMK Bagan Terap, SK Batu 38 dan SK Bagan Terap. Tajuk LADAP kumpulan ini ialah Etika Kerja Penjawat Awam. Ceramah ini telah disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Zamri bin Samsuddin, Pegawai Pendaftar PPD Sabak Bernam.
           Diharapkan objektif penganjuran LADAP ini akan tercapai dan segala ilmu dapat dimanfaatkan untuk kebaikan dan menambahbaik mutu perkhidmatan.

Isnin, 9 Julai 2012

PERKAMPUNGAN ELIT PMR 2012

Sektor akademik SMK Ungku Aziz telah melaksanakan program Perkampungan Elit PMR 2012 pada 6-8 Julai 2012 yang lalu. Perkampungan ini telah dijalankan di asrama sekolah yang melibatkan 2 buah kelas elit tingkatan 3 iaitu tingkatan 3 Tekun dan tingkatan 3 Amanah dan beberapa orang  pelajar kelas lain yang telah menunujukkan prestasi baik semasa peperiksaan pertengahan tahun yang lalu.
          Matlamat program ini ialah untuk meningkatkan prestasi PMR 2012 daripada segi kualiti dan kuantiti. Daripada segi kualitinya sekolah mensasarkan bilangan pelajar yang memperoleh semua A akan dapat ditingkatkan dengan sasaran utama sekolah ialah sekurang-kurangnya 30 orang pelajar yang mendapat  semua A dalam semua mata pelajaran dalam PMR tahun 2012 nanti.
         Objektif program pula ialah program ini dapat mendedahkan pelajar-pelajar kepada tenik menjawab soalan untuk skor A dengan bimbingan berfokus daripada guru-guru di samping memberi keyakinan dan motivasi kepada semua pelajar bahawa kejayaan tersebut bukan suatu yang mustahil untuk dicapai.





          Jawatakuasa pelaksana program yang diketuai oleh Puan Hajah Azizah Mohd Shahar telah bertungkus lumus memastikan program yang julung-julung kalinya diadakan  ini berjaya bermula dari perancangan, pelaksanaan dan penghakhiran program. Turut membantu ialah semua guru yang terlibat, ketua warden dan semua guru pelatih UPSI.  Komitmen semua guru terlibat sangatlah dihargai dan semoga hasrat kita untuk berjaya dengan cemerlang akan berhasil.
          Pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang perkampungan ini antaranya ialah Motivasi : Pecutan Akhir PMR 2012, Skor A bagi mata-mata pelajran terpilih, anugerah cemerlang pelajar elit dan sebagainya. Tahniah kepada semua guru dan pelajar yang terlibat. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya..... Dengan berakhirnya program ini, diharapkan objektif akan dapat dicapai dan diharapkan program ini bukanlah yang terakhir tetapi program permulaan kepada kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Ahad, 1 Julai 2012

12 ORANG GURU PELATIH UPSI MENJALANI PRAKTIKUM DI SMK UNGKU AZIZ

Seramai 12 orang guru pelatih daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim menjalani Latihan Mengajar selama 14 minggu mulai 25 Jun 2012 hingga 19 Oktober 2012 di SMK Ungku Aziz Sabak Bernam.
        Mereka ini terdiri daripada Mohd Shahrul Ridzuan bin Mohd Pono (Sains Sukan), Norshazira binti Mohamed Yazik (Bahasa Melayu), Puteri Norakmal Farahin bt Megat Fauzi (Bahasa Melayu), Low Yin Chian dan Ting Ai Yieng (Bahasa Inggeris), Khomsah binti Hamdan (Kimia), Nuur Atiqah bt Ibrahim dan Nor Suhana bt Ishak (Matematik), Mohd Zaini Zainuddin (Keusahawanan dan Perdagangan), Siti Amira Nabilah bt Khairuddin dan Nooranis Syahirah bt Mohd Jamal (Pengajian Malaysia dengan Pendidikan) dan Maisarah bt Abdullah Zawawi (Pendidikan Islam).
         Sepanjang menjalani latihan mengajar ini, semua guru pelatih ini akan dibimbing oleh guru-guru yang berpengalaman serta diselia oleh pensyarah daripada UPSI.

Isnin, 25 Jun 2012

MOMENTUM FASA 2 SUA BERMULA

Mulai 25 Jun 2012, Sektor Akademik dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Ungku Aziz telah menjalankan program Momentum Fasa 2 untuk semua pelajar SMK Ungku Aziz. Momentum ini dilaksanakan sebagai post mortem selepas peperiksaan pertengahan tahun yang lalu.

Ahad, 24 Jun 2012

HARI TAMBATAN KASIH DAN CAMBAHAN ILMU SUA 2012

Pada 22 Jun 2012 bersamaan hari Jumaat , bermula pukul 10.00 pagi, SMK Ungku Aziz telah mengadakan Hari Tambatan Kasih Cambahan Ilmu 2012. Program tahunan ini dijalankan sempena berakhirnya Peperiksaan Pertengahan Tahun 2012. Program ini sangat penting untuk kedua-dua belah pihak sama ada pihak sekolah dan pihak ibu bapa pelajar. Melalui program ini, ibu bapa pelajar dimestikan hadir ke sekolah untuk berjumpa dengan pihak sekolah yang diwakili guru kelas masing-masing.
        Melalui perjumpaan ini, pihak sekolah mengharapkan terjalin satu ikatan yang murni. Hubungan yang baik ini diharapkan akan dapat membantu menyelesaikan apa juga masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar dalam meningkatkan pencapaian akademik. Perjumpaan pada hari ini ibu bapa penjaga akan dapat melihat sejauh mana prestasi pelajar dalam akademik. Selain itu, ibu bapa penjaga juga boleh menyemak kedatangan anak-anak mereka selama ini di samping boleh mendapatkan maklumat tentang disiplin anak-anak mereka.
         Sambutan yang diberikan oleh ibu bapa penjaga terhadap Hari Tambatan Kasih Cambahan Ilmu ini begitu menggalakkan. Secara keseluruhannya lebih 70 peratus penjaga dapat hadir semasa program ini dijalankan. Ini menunjukkan ibu bapa prihatin tentang soal pendidikan anak-anak.mereka.