SALAM ZIARAH KE PORTAL CIKGU AZMAN

Jumaat, 16 Mac 2012

FENOMENA NGANTUK DAN TIDUR DI KELAS


  Fenomena mengantuk dan tidur di dalam kelas memang menjadi lumrah dalam kalangan pelajar hari ini. Rata-rata sekolah menghadapi masalah ini tidak kira pelajar sekolah harian biasa, sekolah berasrama atau sekolah berasrama penuh. Yang menjadi persoalannya ialah mengapakah keadaan ini berlaku? apakah yang menyebabkan pelajar-pelajar rasa mengantuk di dalam kelas? Adakah pengajaran guru membosankan? Adakah pelajar tidak berminat terhadap sesuatu subjek itu? Adakah suasana kelas yang kurang kondusif menyebabkan timbulnya rasa mengantuk? Adakah semua ini disebabkan oleh pelajar itu sendiri yang kurang tidur semasa di asrama atau di rumah? Adakah pelajar terlalu dibebankan dengan jadual waktu yang sangat padat dan waktu rehat yang sangat kurang sewaktu di sekolah? Adakah kerana pelajar terlalu aktif dengan kegiatan kokurikulum? Adakah semua ini disebabkan faktor makanan? Adakah disebabkan rasa lapar?Semua persoalan ini hanya dapat dijawab oleh pelajar yang terlibat.
       Sebenarnya bilangan pelajar yang ngantuk dan tidur semasa di dalam kelas ini mungkin tidaklah seramai mana.Namun semakin hari semakin ramai pelajar yang mengantuk dan tertidur semasa berada di dalam kelas sama ada sewaktu tiada guru mahupun ketika guru sedang mengajar. Isu ini perlu ditangani kerana pelajar yang tidur sewaktu di dalam kelas sudah tentu tidak memperoleh apa-apa ilmu dan sudah pasti tidak akan dapat membantunya untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Kita harus melihat faktor atau punca keadaan ini terjadi.
       Menyentuh soal mengantuk dalam kelas, isu ini bukanlah suatu isu yang baharu. Punca mengantuk ada banyak faktor. Kalau kita perasan betul-betul rasa mengantuk ini akan lebih ketara apabila masuk ke sekolah berasrama. Ini kerana sistem makan di sekolah berasrama mengikut jadual menjadikan para pelajar hanya boleh makan pada waktu yang ditetapkan. Berbanding kalau kita berada  di rumah kita boleh makan pada bila-bila masa sahaja. Di asrama kalau terlepas waktu makan disebabkan sibuk atau  tertidur maka pelajar tersebut tidak dapat makan. Hal ini amat menyumbang kepada faktor mengantuk dalam kelas terutama kepada para pelajar yang kurang berada.
          Selain itu punca lain mengantuk dalam kelas adalah waktu rehat dan tidur yang tidak menentu. Malam ini tidur pukul 11 malam esok pukul 1 pagi malam semalam pukul 9.00 malam. Jadi tidur yang tidak konsisten waktunya boleh menjadikan pelajar jadi mengantuk dalam kelas. Ini disebabkan otak kita seolah-olah tidak boleh hendak menentukan waktu tidur kita yang sebenarnya. Justeru, otak akan jadi letih dan mulalah kita tidur sewaktu kita dalam kelas.
          Makanan yang kita makan juga boleh menyebabkan kita mengantuk. Makanan yang berlemak seperti nasi lemak, makan makanan dalam kuantiti yang banyak semasa sarapan serta makan makanan yang tidak berkhasiat seperti 'junk food" yang berlebihan boleh juga menyebabkan mengantuk. Makanan berlemak yang dimakan akan menyebabkan proses pembakaran makanan tersebut dalam badan berlaku secara intensif. Proses pembakaran ini menyebabkan banyak oksigen dalam badan diperlukan untuk membantu proses pembakaran ini. Maka hal ini menjadikan  oksigen kurang dihantar ke otak. Apabila kurang oksigen dihantar ke otak maka kita akan jadi mengantuk.
         Tidur yang tidak cukup ataupun terlebih tidur  juga menyumbang rasa mengantuk dalam kelas. Untuk itu adalah sangat baik jika kita sentiasa tidur pada waktu yang konsisten. Para pelajar sekolah seeloknya tidur 6 jam sehari. Tengah haripun kalau boleh tidur sekejap dalam  lingkungan10 minit. Kalau tidak dapat  lelap, baring dan pejamkan mata  dalam 10 minit.
        Tidur yang berlebihanpun bukanlah sesuatu yang baik ... otak akan terangsang untuk  tidur  sepanjang masa maka kita akan jadi mengantuk sepanjang masa.  Ada orang mengatakan faktor genetik juga boleh dikaitkan dengan mengantuk dalam kelas.  Bagaimanapun perkara ini tidak dapat dibuktikan. Apa-apapun berkawan dengan orang yang mengantuk atau duduk dekat dengan mereka pun boleh menjadikan kita mengantuk, seolah-olah berjangkit.
         Cara untuk menghilangkan rasa mengantuk sewaktu dalam kelas ialah pelajar senantiasa membawa bersama air masak (air mineral pun boleh!). Mengikut kajian saintifik, otak kita ini memerlukan 80% air. Kita rasa ngantuk sebab oksigen kurang ke otak, walaupun hidung kita tak berhenti henti bernafas. apabila minum air, bendalir badan kembali seimbang. Ini akan mengurangkan rasa mengantuk. Tetapi tidak ramai pelajar yang mahu membawa air kosong ini kecuali pelajar Cina.
       Selain itu apabila rasa mengantuk dalam kelas, selepas cuba menahannya tapi ternyata gagal, maka bolehlah keluar dari bilik darjah dengan serta merta untuk ke tandas dan basuh muka. InsyaAllah rasa ngantuk akan hilang. Lebih baik lagi kalau ambil wudhu. Pelajar juga boleh pergi ke kawasan yang bercahaya, kawasan yang bercahaya dapat menyegarkan mata kita yang berat.. Boleh duduk bawah lampu, kalau kelas tuh gelap.
Gambar Hiasan Sahaja
Gambar Hiasan Sahaja
       Untuk menghilangkan rasa mengantuk juga bolehlah melakukan senaman ringan. Ia dilihat berkesan, sebab apabila buat senaman badan kita ataupun otot kita ini bergerak. Jadinya segala abdomen badan  kita yang malas akan terjaga dan akan mengaktifkan hormon. Pelajar juga boleh memandang ke sekeliling. Jangan la asyik fokus satu tempat , Papan hitan, papan putih depan itu! Memang la mengantuk, kalau dalam kelas tu mengadap muka guru atau papan putih sahaja. Jadi disarankan agar pelajar juga memandang l sekeliling, Pelajar juga boleh banyakkan bertanya. Selain dapat elakkan mengantuk, dapat menjadikan kita lebih faham. 
Gambar Hiasan Sahaja
         Kesimpulannya, mengantuk dan tertidur di dalam kelas merupakan fenomena biasa dewasa ini. Namun sebagai guru, mestilah prihatin akan fenomena ini dan membantu pelajar-pelajar yang menghadapi masalah ini dengan pendekatan yang sesuai agar pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran. Antara yang boleh dilakukan ialah memberikan nasihat yang baik, bertindak dengan tegas dan meningkatkan penglibatan pelajar serta kaedah yang sesuai bagi memancing minat dan fokus pelajar  sewaktu di dalam kelas.





3 ulasan:

  1. wow.........terbaek la cikgu azman.....siap tangkap gamba.....ahahahahahahaha..

    BalasPadam
  2. perkongsian yang sangat bagussss cikgu azman

    BalasPadam
  3. Anak saya asyik tertidur dalam kelas semenjak tinggal di asrama berbanding duduk di rumah..tapi apakan daya sekolahnya jauh dari rumah. Prestasi pelajaran agak merosot.mungkin pelajaran semakin sukar.kadang rasa sedih jga sebab semasa di sekolah rendah dia merupakan kategori pelajar cemerlang tapi bila menginjak form 2 ada penurunan prestasi pelajaran..perkongsian cikgu amat bmakna untuk saya betikan pada anak..terima kasih

    BalasPadam