SALAM ZIARAH KE PORTAL CIKGU AZMAN

Selasa, 13 Mac 2012

BINGKISAN CUTI KESINAMBUNGAN PEMBELAJARAN

Musim cuti persekolahan datang lagi...walaupun cuti cuma seminggu namun kemeriahan cuti tersebut tetap terasa. Bagi pelajar-pelajar SMK Ungku Aziz, kedatangan cuti memang dinanti-nantikan. Apabila cuti macam ini, mereka akan teringat akan bingkisan yang akan mereka bawa balik pada hari akhir sekolah. Itulah yang dinamakan Bingkisan Cuti. Memang ada kalangan pelajar yang tidak sabar-sabar menunggu untuk mendapatkan bingkisan cuti ini. Belumpun cikgu umumkan atau beritahu, mereka sudahpun bertanyakan tentang Bingkisan Cuti yang istimewa ini. Tanpa Bingkisan Cuti ini macam tidak lengkap percutian mereka. Tanpa bingkisan ini seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena atau ada sesuatu yang kurang masa cuti ini. Inilah hebatnya aura Bingkisan Cuti ini. Bingkisan Cuti (BC) ini sudah menjadi semacam sinonim di SUA menjelang cuti.
        BC ini sebenarnya lahir daripada rasa sayang guru-guru kepada pelajar. Guru-guru sayang akan anak-anak didiknya, lantaran itulah mereka menyediakan sesuatu untuk dilakukan semasa cuti sekolah. Latihan-latihan yang diberikan ini sebenarnya adalah usaha terancang pihak sekolah bagi memastikan setiap pelajar dapat menggunakan masa cuti sekolah ini dengan sebaik mungkin. Dengan kata lain, pihak sekolah mahu meneruskan pembelajaran pelajar-pelajar ini semasa cuti sekolah. Pihak sekolah, khususnya guru-guru mahu anak didik mereka sentiasa mengingati pelajaran mereka supaya apabila bersekolah semula, mereka semua sudah bersedia.
        Walaupun usaha ini baik, namun diharapkan semua ini akan mendapat kerjasama daripada pihak ibu bapa penjaga pelajar-pelajar ini. Tanpa kerjasama ini sukar untuk menjadikan  objektif ini tercapai. Ibu bapa penjaga mestilah senantiasa berfikiran terbuka dan senantiasa memantau anak-anak jagaan mereka membuat BC ini. Dengan adanya kerjasama dua hala ini akan dapat membantu pihak sekolah menjalankan program  BC ini dengan sebaik mungkin. Pihak sekolah membelanjakan sejumlah peruntukan untuk BC ini dan diharapkan semuanya memberi pulangan yang membanggakan. Pepatah Melayu ada mengatakan "Kalau Tidak dipecahkan Ruyung Manakan Dapat Sagunya" bermakna bukan mudah untuk mengecapi sesuatu kejayaan itu. Selamat Bercuti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan