SALAM ZIARAH KE PORTAL CIKGU AZMAN

Isnin, 13 Februari 2012

PENGETUA LANCARKAN PROGRAM NILAM PERINGKAT SEKOLAH

Program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan aktiviti galakan membaca yang dijalankan dengan  memberi pengikhtirafan yang sesuai mengikut tahap pembacaan pelajar. Pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara komulatif sehingga pelajar tamat persekolahan. Program ini merupakan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca dalam kalangan pelajar. Usaha ini perlu dilakukan kerana ada petunjuk yang jelas pelajar-pelajar di negara kita tidak suka membaca buku disebabkan adanya pelbagai pengaruh.

 Pengetua memukul gong simbolik pelancaran
          Menyedari akan hakikat ini, pihak sekolah SMK Ungku Aziz telah mengambil daya usaha untuk melancarkan program NILAM dan Jom Ke Perpustakaan peringkat sekolah bagi tahun 2012  ini. Walaupun program ini merupakan program tahunan namun diharapkan dengan pelancaran tahun ini akan meningkatkan budaya membaca dalam kalangan pelajar. Seperti kata-kata hikmat yang biasa kita dengar, "Membaca itu jambatan ilmu" dan "Selangkah ke perpustakaan segunung pengetahuan.

Penerima anugerah NILAM
Persembahan Koir 
     
      Pada tahun ini, pelancaran program Nilam peringkat sekolah telah dilakukan oleh Yang Berusaha Puan Hajah Salehar bt Yaakop, Pengetua Kanan SMK Ungku Aziz. Dalam ucapan ringkas beliau semasa merasmikan program ini, beliau menekankan betapa pentingnya amalan membaca ini dibudayakan. Selain itu beliau juga telah melahirkan rasa tidak puas hati dengan tahap pembacaan buku dalam kalangan pelajar SMK Ungku Aziz. Sebaik-baik selesai ucapan pelancaran tersebut, Tuan Pengetua telah memukul gong tanda simbolik pelancaran program tersebut di peringkat sekolah. Selepas itu telah diadakan persembahan koir yang menyampaikan lagu tema program NILAM serta tayangan klip video.

Pelancaran Program NILAM
Pelajar yang menerima anugerah NILAM
   
       Semasa majlis ini juga, Puan Hajah Salehar telah menyampaikan anugerah kepada 38 orang pelajar SMK Ungku Aziz yang telah mencapai beberapa pengikhtirafan daripada anugerah gangsa hinggalah ke peringat nilam. Seramai 19 orang pelajar telah menerima anugerah peringkat Gangsa iaitu pelajar yang telah membaca 72 hingga 143 buah buku. Anugerah Perak pula telah diterima oleh 11 orang pelajar(membaca 144-215 buah buku) manakala anugerah Emas pula telah diterima oleh 6 orang pelajar(membaca 216-287 buah buku). Kemuncak majlis  ini ialah penyampaian anugerah tertinggi iaitu anugerah Nilam kepada 2 orang pelajar yang telah membaca sekurang-kurangnya 288 buah buku. Tahniah kepada Guru Perpustakaan dan Media, Puan Nur Zila Zakaria dan semua ahli jawatankuasa Nilam yang telah berjaya mengadakan program ini. Akhir sekali, diharapkan semua pelajar SMK Ungku Aziz akan menyahut seruan untuk meningkatkan budaya membaca ini sesuai dengan moto PSS "Dampingi Kami Anda Pasti Bestari"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan