SALAM ZIARAH KE PORTAL CIKGU AZMAN

Khamis, 12 April 2012



Bola sepak yang merupakan sukan yang paling popular di Malaysia namun amat memalukan!. Hanya itulah yang boleh kita katakan dengan kedudukan pasukan Malaysia dalam ranking Bolasepak FIFA apabila negara kita menduduki kedudukan 156 berbanding dengan Bangladesh di kedudukan 152, Filipina (154) dan Samoa (155).Malah dalam Negara Asia Tenggara Malaysia terperosok ke tangga ke enam di belakang Vietnam, Thailand, Indonesia dan Singapura serta Filipina.Bagaimana kita boleh berada dalam ranking lebih rendah dari Bangladesh dan Filipina sedangkan kita tahu kedua-dua pasukan itu adalah pasukan belasahan dan lemah. Mengapa FAM begitu lemah dan lembap dalam menguruskan pasukan negara sehingga pasukan kita dimalukan dengan sedemikian rupa. Rasanya ranking ini merupakan ranking terburuk yang pernah diperoleh oleh pasukan Malaysia. Janganlah FAM menunding jari kepada sesiapa atas kemerosotan  yang berlaku ini. Terimalah hakikat ini dengan penuh tanggungjawab. Tiada salahnya mengakui kelemahan diri. Kalau rasa tanggungjawab belum dilaksanakan sepenuhnya, tunaikan tanggungjawab itu. Ini merupakan amanah pengurusan FAM. Kalau merasakan diri tidak berupaya untuk memikul tanggungjawab itu, letaklah jawatan itu dan serahkan kepada orang yang benar-benar berkelayakan dan berminat untuk memberikan komitmen yang sewajarnya. Sudah sampai masanya pengurusan FAM diserahkan kepada yang sepatutnya.
         Pada saya FAM yang bersalah dan mesti bertanggungjawan dalam hal ini. Kalau boleh kurangkan politiking kalau ada dalam FAM. Bersedialah menerima apa juga kritikan yang dilemparkan sama ada daripada kepemimpinan atau ataupun daripada peminat. Berlapang dadalah. Takkanlah FAM ini terlalu hebat sangat sampaikan tidak boleh dikritik langsung. Lainlah kalau bola sepak kita dah maju dan ranking dan meningkat ke peringkat lingkungan 50an. Kalau pada masa itu kalau mahu mendabik dada, mungkin orang atau peminat tak kisah.  Sesuatu mesti dilakukan demi masa depan pasukan Negara. Pihak pengurusan FAM mesti bertanggungjawab sepenuhnya dengan fakta yang amat memalukan ini.
               Sekarang kita semua tidak wajar mengingati kegagalan demi kegagalan yang melanda skuad bola sepak Malaysia sama ada pasukan senior atau pasukan pelapisnya. Pandang ke hadapan. Betulkan mana yang tidak betul. Tengok kembali liga tempatan. Tengok semua sistem pemilihan pemain. Kaji semua program pembangunan bakat (jika ada). Belajar daripada Korea dan Jepun yang satu masa dahulu pernah berada sebaris atau lebih rendah daripada kita. Bagaimana mereka lakukan untuk menjadi pasukan yang disegani di dunia sekarang. Buat perancangan strategik pemabangunan bola sepak dengan sokongan penuh daripada kerajaan termasuk soal kewangan. Pembangunan bakat mesti digerakkan kepada yang benar-benar layak dan menyeluruh. Jangan jadikan budaya BAS (Buat Asal Siap). Jangan buat asal ada sahaja. Contoh Singapura, pasukan pelapis peringkat umur bawah 15 tahun pun sudah diberi pendedahan dengan bermain dengan pasukan pelapis hebat pasukan liga perdana Inggeris.
             Hendak seribu daya, Kepada pemain pula, kena fahamkan tentang soal profesional itu. Saya melihat, pemain Malaysia semacam kurang faham tentang maksud profesional itu sendiri. Sebab itu mereka dilihat tidak berusaha secara bersungguh-sungguh untuk memajukan diri. Cukuplah apa yang ada. Permainan mereka ditakuk lama. Negara-negara di Afrika yang merupakan sebahagian negara mundur sudah jauh ke hadapan dengan ramai pemain mereka bermain dengan kelab-kelab ternama di Eropah. Pemain-pemain Malaysia bila lagi? Tepuk dada tanya selera...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan